Sunday 31 March 2013

TAPAK EMPAT TEKNIK DAN KAEDAH PERMAINAN SERTA KESANNYA.
Ilustrasi dipetik dari artikel yang ditulis oleh Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab.
Main Silat Pulut selepas pesilat mengaksikan Tapak Empat.
 
Tapak Empat merupakan gerak persediaan dan suai kenal antara pesilat sebelum melakukan serang bela. Ketika ini bagi pesilat dari aliran perguruan yang sama tidak menimbulkan sebarang masalah dan ketika ini mereka dapat menampilkan kemahiran dengan sebaik-baiknya. Tetapi bagi pesilat   yang   mahir   walaupun   dari   perguruan   yang   berbeza   tetap   dapat melakukan kerana gerak-gerak berkenaan terdapat juga di dalam perguruannya.
Tapak Empat memberi masa persediaan jasmani dan rohani pesilat, kerana gerak kerja Tapak Empat menggerakkan bahagian-bahagian anggota badan seperti bahagian sendi, otot, saraf dan keyakinan mental. Gerak tersebut memberikan kelonggaran, reganggan, kelembutan dan pernafasan. Persediaan tersebut secara langsung menjadikan Silat Pulut merupakan permainan tradisi yang memberikan kesegaran rohani dan jasmani. Dalam Tapak Empat terdapat asas dan dasar kaedah Silat iaitu terdiri daripada gerak badan, gerak langkah kaki dan kedudukan tangan dalam sesuatu aliran perguruan. Maknanya secara tradisinya ilmu Silat telah dilengkapkan dengan pengajaran dan pembelajaran yamg rapi untuk membentuk pesilat. Tapak Empat merupakan rangkaian gerak membentuk pesilat. Tapak Empat merupakan rangkaian gerak membentuk kemahiran keterampilan seni beladiri dalam silat.
LANGKAH MELILIT

Rajah Panduan Langkah Melilit

Langkah  Melilit  ialah  kaedah  bergerak  dalam  bentuk  bulatan  atau lingkaran.  Sekiranya  dilakukan  oleh  dua  pesilat,  Langkah  Melilit  dilakukan dengan  kedua  pesilat  bergerak  bersetentangan  dengan  jarak  yang  tertentu seperti Lingkaran ke arah yang sama. Lihat rajah 1. Jarak kedua pesilat menentukan saiz besar atau kecilnya Lingkaran Langkah Melilit. Gerakan menghampiri lawan membuatkan lingkaran semakin mengecil.
i.           Gerak Lingkar Besar
Lingkaran besar berlaku ketika jauh daripada lawan. Ketika ini pesilat melakukan gerak pecah langkah dengan mengatur strategi serang belanya. Kedua-dua pesilat melakukan Langkah Melilit iaitu bergerak berputar sehingga bulatan atau lingkaran menjadi semakin kecil. Arah langkah ketika melilit boleh dilakukan secara maju atau mundur. Jenis langkah boleh disesuaikan mengikut keperluan. Gerakan dalam lingkaran yang besar ini membuatkan jarak kedua pesilat  jauh  dari  serangan  dilakukan  kerana  lawan  mudah  menghindarkan dirinya dari terkena serangan. Lihat rajah 2.
ii.         Gerak Jarak Jauh
Gerak   dalam   jarak   jauh   bermakna   kedua-dua   pesilat   berada   lebih daripada sepencapaian kedua tangan pesilat. Iaitu sekiranya dua pesilat berdiri berhadapan, mengangkat kedua tangan lurus ke depan dan menyentuh kedua hujung jari. Maknanya luas luas bulatan atau lingkaran lebih daripada jari-jari sepanjang lengan pesilat. Lihat rajah 3.
Jarak antara kedua pesilat mempengaruhi kaedah melakukan dalam serang dan bela. Misalnya lawan melakukan serangan sepak dalam jarak jauh, belaan elak sudah cukup untuk menghindarkan sasaran daripada serangan. Lihat rajah 4. Bermakna 'Jarak' merupakan satu hukum dalam menentukan   penggunaan   jenis   serang atau bela.
iii.        Gerak Jarak Hujung
Jarak hujung bermakna jauh kedua pesilat sepencapaian. Bermakna kedua lengan pesilat dapat bersentuhan ketika lurus. Biasanya dalam Silat kedua-dua pergelangan tangan selalunya bersentuh dengan  tujuan  menampan  serangan lawan. Lihat rajah 5. Gerak langkah melilit dalam Jarak Hujung ini dalam lingkaran berjari-jari dalam sepanjang satu lengan.
iv.        Gerak Jarak Tengah
Jarak tengah menunjukkan jarak antara kedua pesilat mengikut ukuran sepanjang siku. Bermakna ukuran jari-jari lingkaran sepanjang siku. Jadi kedua-dua pesilat akan bergerak maju atau mundur secara dekat yang menunjukkan pesilat terpaksa menggunakan teknik atau taktik serang atau bela jarak dekat Lihat rajah 6.

v.          Gerak Jarak Pangkal
Jarak pangkal adalah jarak paling dekat iaitu di mana kedua pesilat rapat bertemu bahu. Teknik dan taktik ketika jarak pangkal selalu berlaku ketika bergelutan,  bertangkapan  dan berkuncian. Walaupun ketika Jarak Pangkal kedua pesilat mestilah mahir menggunakan Langkah Melilit. Lihat rajah 7.
Demikian   4   jarak   yang   perIu   dimahirkan   dalam   melakukan   Gerak Langkah Melilit. Kaedah hukum 'Jarak' seperti yang telah dinyatakan di atas amat penting dalam menentukan teknik dan taktik yang akan digunakan dalam serang dan bela. Kaedah langkah Melilit merupakan gerakan penting ketika bertarung. Kemahiran ini dapat mematahkan serangan dan melakukan serangan balas yang mudah dan berkesan.
Gaya Melakukan Langkah Melilit
Gaya melakukan  Langkah Melilit dapat dibahagikan kepada  4 perkara. Iaitu gerak Kaki, Gerak Badan, Gerak Tangan dan Gerak Kepala. Keempat-empat perkara yang tersebut di atas amat penting digunakan dalam mana-mana bahagian supaya gerak menjadi kemas dan keterampilan. Asas gerak yang terdapat dalam Gerak Langkah Melilit mempunyai hubungan yang rapat dalam mengembangkan teknik dan taktik serang dan bela.
a.          Gaya Kaki
Gaya kaki meliputi cara melangkah mengelilingi lingkaran. Cara langkah ialah berjalan dengan merendahkan sedikit badan dengan membengkukkan lutut hingga setinggi 75% dari tinggi biasa. Besar buka langkah   ketika   berjalan   mengikut   keperluan   dan   kesesuaian.   Jenis langkah pada asasnya seperti Langkah Satu maju dan mundur. Langkah Silang  seperti Langkah Enam dan buka silang seperti Langkah Tujuh dalam Bunga  Sembah peringkat satu. Tiga langkah ini dapat digunakan sehingga pesilat menghampiri pasangan atau lawan. Langkah  kaki  jangan  sumbang.  Sebaiknya  kedua  pesilat mempunyai    bentuk kuda-kuda yang sama. Misalnya kalau lawan atau pasangan dengan kuda-kuda kaki kanan depan, maka pesilat harus dengan kuda-kuda kaki kanan depan. Bermakna sekiranya kedua-dua pesilat bergerak lawan  perjalanan jam, kedua buku lali kanan bahagian dalam akan bersetentangan. Begitulah seterusnya. Lihat rajah 8.
b.         Gaya Badan
Gaya  badan  dalam  aliran  perguruan  ini  tegak  dengan mengukuhkan pinggang. Tunduk atau membengkukkan badan dilakukan ketika melakukan teknik menyusup atau menyalahkan serangan lawan. Gerak badan mengikut langkah kaki dan pergerakan tangan. Kedudukan badan tegak amat diperlukan dalam permainan dekat, jarak pangkal. Lihat rajah 9. Pesilat melakukan melilit dengan mengerengkan badannya sehingga salah satu bahu menghala kepada lawan.  Kedudukan  sendeng  atau  mengereng  menjadi  ruang  sasaran  atau  'alam' tertutup atau kecil.
c.          Gaya Tangan
Gaya  tangan ada hubungannya  dengan tujuan teknik dan tektik serang bela. Terdapat gerak tangan yang khusus yang telah   dirakamkan sebagai gerak yang dipertingkatkan kepada gaya seni. Dalam rajah 10 diperturunkan di antara beberapa gerak tangan sebagai panduan bagi kegunaan peringkat ini. Secara khususnya, tangan dari bahu yang menghala kepada lawan. Sebaik-baiknya hujung jari menghala ke arah membelah dada lawan. Kaedah demikian memudahkan pesilat menguasai gerak lawan.
d.   Gaya Kepala
Gerak kepala dilakukan dengan tujuan memandang gerak lawan. Kepala dipusingkan untuk memandang arah yang akan dihala oleh pesilat. Namun dalam Silat pandangan mata dan kedudukan muka kerap dirahsiakan. Misalnya pesilat lebih suka menggunakan jelingan dan pandangan ekor mata. Rajah 11 menunjukkan pesilat memandang ke arah rangkai pergerakan. 
GALAH PANJANG

Ilustrasi Kaedah Galah Panjang
Apabila kedua-dua pesilat selesai melakukan kaedah Melilit, kedua-dua pesilat telah dalam keadaan kedudukan yang hampir kira-kira kedua-dua tangan pesilat  boleh  bertemu  atau  dalam  Jarak  Hujung.  Kedua-dua  pesilat  menjaga jarak di antara antara mereka, jarak sentiasa dikekalkan. Di antara cara yang dapat digunakan ialah melakukan Kaedah Galah Panjang. Dalam Silat, Kaedah Galah  Panjang  boleh  dilakukan  bila-bila  masa  sahaja  yang  difikirkan  sesuai. Sebaik sahaja selesai melakukan Galah Panjang, kedua-dua pesilat akan melakukan serang bela seni.

Cara Melakukan Kaedah Galah Panjang

i.           Betulkan kedudukan pesilat supaya tidak sumbang. Terdapat 2 bentuk kedudukan badan dalam melakukan Galah Panjang iaitu:

Pertama, kedua-dua pesilat dalam kedudukan 45 darjah daripada lawannya  sama  ada  pihak  kanan  atau  kiri.  Jarak  kedua  pesilat  boleh dalam jarak jauh atau bertemu sebelah atau dua belah tangan. Lihat rajah
10.

Kedua, kedudukan badan kedua-dua pesilat sejajar, maknanya kedua-dua pesilat menghadapi satu arah dengan langkah kaki yang sumbang. Jarak kedua-dua pesilat boleh jauh dan sekiranya dekat boleh sebelah atau kedua belah tangan bertemu. Lihat rajah 11.

ii.      Apabila pesilat telah mendapat jarak yang sesuai, pesilat akan memerhatikan gerak lawannya. Pesilat mestilah segera bergerak menurut gerak pasangannya sama ada bergerak maju atau mundur asalkan jarak kedua-dua pesilat tetap seperti asalnya. Lihat rajah 13.

iii.      Setelah melakukan kaedah Galah Panjang, pesilat akan melakukan serangan dan belaan seni. Dianggapkan Galah Panjang sebagai lawan tidak memberikan peluang kepada pasangannya. Oleh itu lakukan pecah langkah untuk keluar daripada kaedah Galah Panjang.

Cara Latihan Galah Panjang

Pesilat melakukan Kaedah .Galah Panjang mestilah berpasangan.

i.         Melakukan  kaedah-kaedah  Galah  Panjang  pertama  seperti  di  atas.

Kedua-dua pesilat berhadapan dengan pasangan berada di hadapan 45 darjah kanan atau kiri. Lihat rajah 14. Angkat tangan yang hampir dengan lawannya, lihat rajah 15. Kuda–kuda kaki tidak sumbang.

ii.          Kemudian  bergerak,  4  langkah  maju  dan  4  langkah  mundur.  Lihat rajah 16. Ketika langkah maju atau mundur kedudukan tangan tetap pada asalnya, memberi peluang lawan mengambil kesempatan melakukan serangan.

iii.       Lakukan pada aras yang tinggi iaitu meluruskan sedikit lutut dan aras dan aras yang rendah dengan membengkukkan lutut sehingga salah satu menyentuh lantai. Lutut yang menyentuh lantai ialah lutut yang berhampiran dengan pasangan. Lihat rajah 17. Sekiranya melakukan latihan kaedah Galah Panjang kedua seperti yang tersebut di atas.

iv.     Kedua-dua pesilat berdiri sejajar menghadap satu arah, bahu bersententangan. Kedua - dua pesilat boleh melakukan jarak sejauh lurus sebelah tangan. Lihat rajah rajah 18. jarak paling hampir adalah bertemu kedua-dua belah bahu pesilat.

v.         Angkat tangan selaku bersedia membela atau serang seperti rajah 20 tetapi dalam Seni Gayung Fatani lakukan kaedah Sagang sehala. Lihat rajah 21. Kemudian bergerak ke arah maju 4 langkah dan mundur 4 langkah. Lihat rajah 22.

vi.       Lakukan pertukaran hala sagang dengan memusingkan badan menghala depan atau belakang. Lihat rajah 23. Aras boleh dilakukan dengan turun merendah  dengan  membengkukkan  lutut  sehingga  menyentuh  lantai. Seperti yang telah dinyatakan diatas. Lihat rajah 24.
TIKAM PARANG DAN TETAK 
3 Bentuk Serangan Silat Seni
Cara Melakukan Serangan Dan Sambut Dalam Permainan Seni
Serangan   dan   sambut   dalam   permainan   seni dilakukan secara lambat atau perlahan tetapi rapi dengan imbangan, ketepatan, kekemasan, kecepatan, ketangkasan, ketahanan dan kekuatan.

a.          Kaedah Serangan Seni :
Setelah   melakukan   Langkah   Lilit   atau   Galah   Panjang,   pesilat bolehlah melakukan serangan seni. Serangan seni dilakukan seperti di bawah ini:
i.         Berdiri  dengan angkat kaki kiri dan tepuk tangan kiri di atas kepala lutut kiri. Tangan kanan yang melakukan serangan dihalakan lurus ke arah sasaran atau pasangan. Lihat rajah 2. Rajah tersebut menunjukkan cara bagaimana melakukan sedia serangan tumbuk tangan kanan. Sekiranya serangan tumbuk tangan kiri dilakukan angkat dan tepuk lutut kanan.
ii.          Maju ke sasaran dengan melangkah kaki kiri atau kaki yang diangkat.  Apabila  hampir  kepada  lawan,  lakukan tumbuk tangan kanan dengan melangkahkan kaki kanan. Pesilat tentu  dapat  merasakan  bahawa  penyerang  perlu melakukan dua langkah ke sasaran. Hal ini berlaku kerana dalam permainan Seni (Silat Pulut) pasangan kerap  berada jauh daripada pesilat. Lihat rajah 3. Tetapi sekiranya pasangan rapat atau dekat, bolehlah pesilat menyesuaikan langkah dengan kemudahan jarak dalam serangan.
Rajah 2 dan 4
iii.       Serangan  Tumbuk  Seni  dilakukan  dengan  mengepalkan tangan yang akan melakukan serangan, kemudian tangan tersebut  naik  ke  paras  pinggang  dengan  kepal  telentang dan undur ke belakang akhirnya maju ke sasaran dengan kepal telengkup. Kederasan mengikut kesesuaian, biasanya dilakukan perlahan untuk kemahiran. Manakala tangan kiri atau tangan yang tidak menyerang berbentuk ‘dal /οΊͺ’ bengkuk selaku tangkis di depan dada dengan hujung jari menghala ke atas. Lihat rajah 4.

b.         Kaedah Sambut Seni
Kaedah Sambut Seni dilakukan sama seperti dilakukan oleh pasangan iaitu berdiri menghadap lawan, angkat kaki kiri tepuk kepala lutut dengan tangan kiri. Tangan kanan angkat menghala kepada serangan. Selepas tepuk kepala lutut, tangan kiri selaku tangkis di depan dada pesilat. Maju mengikut rentak langkah lawan. Lihat rajah 5.
Rajah 5 dan 6
 Rajah 7,8 dan 9
iv.         Bagi  sambut  serangan  tumbuk  tangan  kanan,  maju  dua langkah dan lakukan Sambut Luar iaitu berada di sisi rusuk kanan pesilat, memegang lengan pesilat dengan dua tangan.
v.      Apabila  pesilat  merasa  lengan  kanannya  dipegang, bengkokkan siku (kaedah Kedu) lihat rajah 7a. Manakala tangan  kiri  pesilat  menyisip  dari  dalam  ke  luar  untuk membebaskan  tangkapan  pasangan  di  bahagian pergelangan tangan, lihat rajah 7b. Bermakna pesilat membebaskan tangkapan kedua-dua pasangannya dengan kaedah tindih. Ketika ini tangan kanan pesilat boleh melakukan serangan, lihat rajah 8. Begitu juga tangan kiri pesilat boleh melakukan serangan, lihat rajah 9. Pesilat bebas  dari  tangkapan  dan  ketika  ini  pesilat  berada  di bahagian dalam, lihat rajah 9.
vi.      Pasangan menyedari kedudukannya lemah. Cara mudah menyelamatkan diri dengan memotong gerakan lawannya dengan mengubah hala Sagang. Sagang ialah apabila kedua- dua tangan bersentuhan untuk mempertahankan diri dari serangan   tangan   atau   tangkapan.   Lihat   rajah   11   iaitu kaedah Sagang Sehala. Memotong dengan memusingkan badan ke belakang ikut kiri, lihat rajah 12. Dengan gerakan tersebut pasangan terpaksa menurut supaya kedudukan tidak kiat, iaitu dengan mengangkat kaki kanan sedikit keluar,  lihat  rajah  13.  Kedudukan kaki  kedua-dua  pesilat menjadi rajah segi tiga, lihat rajah 14. Namun kedua-dua tangan pesilat masih dalam keadaan Sagang.
vii.      Pisah  iaitu  cara  membebaskan  diri  dari  sagang  tersebut ialah dengan maju kaki belakang rapat ke kaki depan, lihat rajah  15.  kedua-dua  pesilat  melepaskan  tangan pasangannya dan berdiri tegak di atas kedua-dua kaki dengan   satu   tangan   menghala   kepada   pasangan   dan sebelah  tangan  lagi  selaku  tangkis  di  depan  dada.  Lihat rajah 16.
Selepas kedua-dua pesilat membebaskan dirinya daripada pasangannya, bolehlah meneruskan serangan lain. Tetapi dalam latihan ini,  pesilat  mestilah  melakukan  serangan  tumbuk  tangan  kanan  dan serangan tumbuk tangan kiri.
 Rajah 11, 12 dan 13
Rajah 14,15 dan 16
c.          Cara Latihan
Latihan mestilah dilakukan dengan pasangan (2 orang) untuk pengetahuan, bahawa serangan tumbuk melatih pesilat menghadapi serangan terus ke sasaran dan belaan dengan Sambut Luar. Serangabn terus dalam    pertempuran    biasanya    deras    sama    ada    tanpa    atau bersenjata. Di dalam pelajaran Seni diperturun kan kaedah rapi bagi sambut dan melepaskan diri dari tangkapan (pemotong).
i.           Kedua-dua pesilat berdiri berhadapan dalam jarak langkah atau berdiri dengan hujung tangan bertemu, lihat rajah 17.
ii.        Kedua-dua  pesilat  angkat  kaki,  tepuk  atas  lutut  dengan tangan   kiri.   Pesilat   yang  melakukan   serangan   tangan tumbuk tangan kanan dengan tangan kepal di pinggang dan tangan kiri selaku menangkis di dada.m pasangan dengan tangan  selaku  tangkis  di  depan  dan  tangan  kiri  selaku tangkis di belakang. Lihat rajah 18.
Rajah 17 dan 18
iii.       Kedua-dua pesilat maju. Pesilat maju langkah kaki kiri dan luruskan tangan kanan ke arah sasaran. Pasangan maju dan meletakkan tepi luar tangan kiri di pergelangan tangan pesilat. Lihat rajah 19.
iv.       Pesilat  maju  kaki  kanan  dengan  tangan  lurus.  Pasangan melakukan kaedah Gelek dan memegang siku pesilat. Lihat rajah 20.
Rajah 19 dan 20
v.         Sisip  dan  Kedu.    Bebaskan  dari  tangkapan  luar.  Pesilat sisip dengan tangan kiri tangkapan pergelangan tangan dan kedu siku kanan supaya pegangan di bahagian siku dilemahkan. Pesilat melakukan kedua-dua kaedah Sisip dan Kedu secara serentak dengan membengkokkan lengan seperti rajah 21.
vi.       Sagang. Pesilat membuka ruang dalam yang melemahkan itu, alam lawan terbuka untuk serangan. Tangan kiri pesilat menolak tangkapan tangan kanan di bahagian pergelangan, tangan kanan menolak tangan kiri pasangan ke bawah, lihat rajah 22. Pesilat ketika ini bebas dari serangan. Manakala pasangan lemah kerana ia terdedah dari sebarang serangan.
Rajah 21 dan 22
 
vii.      Pemotong. Lakukan gelek kanan dengan pusing belakang ikut kanan lihat rajah 23. Pesilat memegang kedua-dua tangan lawananya sambil berpusing, kerana tangan lawan yang bebas boleh melakukan berbagai muslihat. Jagalah gerak
viii.     Pisah.  Kedua-dua  pesilat  maju  kaki  belakang  rapat  ke depan. Jarak kedua-dua pesilat jauh dan kedua-dua tangan dilepaskan. Lihat rajah 24. Tangan yang rapat dengan pasangan tetap dihalakan kepada lawan dan sebelah tangan lagi selaku tangkis di dada. Lihat rajah 25.
Rajah 23,24 dan 25
Latihan perlu dilakukan secara perlahan dan kesan makna-makna tersirat ketika anda menjalankan latihan kerana ruangan ini tidak berupaya  mengambarkan  keseluruahan  gerak  secara  terperinci, tetapi memadai lah untuk peringkat pertama.Cukup sekadar anda dapat mengamalkan dasar serang tumbuk.
[Dipetik daripada artikel Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab]

KISAH AMALAN KEPEWIRAAN MELAYU DAN SENJATA MELAYU TRADISI

Amalan kerohanian dalam Silat Melayu melalui sejarah yg panjang iaitu pada peringkat pertama kerohanian  Silat  Melayu  tradisi  dari  amalan  kepawangan  yang berdasarkan kepercayaan animisme yang percaya kepada kuasa ghaib, nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan. Bagi memperlihatkan hubungan baik, mendapatkan bantuan kuasa ghaib dan mempertahankan diri  dari kecelakaan kuasa ghaib, pengamal kebatinan tradisi  memakai  beberapa petua dan syarat,  tangkal  azimat  dari  kayu,  batu, tulang serta mantera jampi dalam bahasa Melayu. 


Peringkat  kedua  ialah  kebatinan  berlatarkan  pengaruh kepercayaan  Hindu Buddhisme.  Pada peringkat  ini  amalan  animisme  masih  kekal  diamalkan  di  samping mempercayai  kuasa  dewa  dewi,  keramat,  bertapa,  puasa,  bersemadi,  yoga,  mandi  keramat, nujum, kesaktian dan jampi mantera serta percaya pada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi, batu, kayu, tulang dan kulit binatang.  


Peringkat ketiga ialah pengaruh Islam.  Oleh sebab Islam baru berkembang dalam masa yang singkat sebelum kerajaan-kerajaan Melayu diperintah oleh penjajah barat yang memandang  Islam sebagai  musuh,  maka  kerohanian  Islam tidak  dapat  berkembang dengan sempurna dalam kerohanian persilatan Melayu.  Pada peringkat  ini  kerohanian Islam dalam persilatan  Melayu  masih  bercampur  baur  dengan  pengaruh  kepercayaan animisme dan Hindu Buddhisme. Pengamal silat percaya kepada kuasa Allah yang esa, tetapi  masih  dipengauruhi  oleh  kebatinan  lalui  dengan  mewujudkan  sandaran  seperti malikat,  sahabat,  saka,  jin, wali,  keramat,  roh panglima dan semangat  binatang seperti harimau,  helang,  monyet  dan  sebagainya.yang  dapat  membantu  ketika  terdesak. Mengadakan  semah  gelanggang,  mandi  minyak,  mewujudkan  mantera  jampi  dengan kalimah  untuk  ilmu  pendinding,  kebal,  penunduk,  penderas,  pengasih,   pengunci, pelimun,  petunang,  pembisa  dan  pelali.  Bermakna  kerohanian  Islam  belum  dapat
menyumbang kepada ilmu kepahlawanan Melayu sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan penglima Islam zaman Rasulullah SAW.

Peringkat ke empat ialah pengaruh sekularisme yang menjadikan agama sebagai urusan  peribadi  dan  budaya  yang  tiada  berhubungan  urusan  keduniaan.  Silat  mula dipengaruhi  pelbagai  falsafah  dan pemikiran  yang  bergantung kepada usaha manusia semula  jadinya  memberi  bekas.  Manusia  mempunyai  kekuatan   mutlak  melalui keupayaan fizikal,  mental  dan spiritual.  Diperkukuhkan dengan latihan minda dan jiwa melalui  amalan  yoga,  pernafasan,  tenaga  dalam,  aura,  syihir  dan  sebagainya  yang bersumber daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kerpecayaan. Pengamal spiritual dapat memperlihatkan keupayaan amalan dengan memecah genting batu, mematakan besi baja, ketulan ais, menjilat besi panas, membakar tubuh, mandi asid, makan kaca, ditusuk dengan  besi,  tahan  godam dengan  kayu,  rotan,  buluh,  besi  dan  lain-lain.  Beberapa perguruan silat telah kembali melihat amalan-amalan dari kebatinan lalu untuk menyaingi persembahan yang dilakukan oleh pengamal spiritual.

Berbalik kepada persoalan sumbangan kerohanian Islam ke dalam ilmu persilatan Melayu  ternyata  masih  belum pernah  diusahakan dengan  sempurna.  Hanya  beberapa orang  ulamak  Melayu  yang  mengajar  silat  sedar  iaitu  setelah  pengamal  silat meninggalkan  amalan  kebatinan  Melayu  tradisi  dan  pengaruh  Hindu  Buddhisme, berlakulah kekosongan pada ruang kerohanian dalam ilmu kepahlawanan Melayu. Tanpa pengisian  adalah  besar  kemungkinan  kekosongan  tersebut  akan  diisi  kembali  oleh kebatinan  lalu  atau  pengaruh  amalan  semasa  yang  bukan  Islam.  Mereka  segera memperturunkan rahsia ilmu kerohanian Islam di samping mengekalkan amalan budaya Melayu  yang  tidak  berxanggah  dengan  syarak.  Pendidikan  ilmu  kerohanian  Islam dimulakan dengan memperkenalkan  ketokohan pahlawan Islam seperti Sayidina Omar al Katab,  Sayidina Ali  Abi  Talib,  Sayidina Hamzah,  Khalid ibn Walid,  Tariq bin Ziad, terutama  ketokohan  Nabi  Muhammad  saw.  Pesilat  dapat  melihat  Islam  sebagai kerohanian  dan  ilmu  yang  dapat  membentuk  kekuatan  rohani  dan  jasmani.  Pesilat diperkukuhkan  amalan  syariat  Islam meliputi  hal  yang  bersangkutan  dengan  ibadah, aqidah dan pembinaan akhlak. Maka ilmu tasawuf  berjaya memupuk  kesuciaan hati melalui riadah kerohanian Islam yang bersumberkan beberapa aliran tarikat  dari aliran sunnah  wal  jemaah  muzahab  Imam  Syafie  seperti  tarikat  Ahmdiah,  Muhamadiah, Naqsabandiah, Qadariah dan yang lain-lain Ulamak Melayu memperturunkan beberapa bentuk aurad dan wirid yang diserta dengan syarat dan kaifiat sesuai dengan keperluan pengisi  kerohanian  silat.  Tujuannya  untuk membuka  hijab pesilat  agar  dapat  melihat kebesaran Allah dengan biji matanya sendiri. Usaha para ulamak tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam ilmu persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.

Kesimpulannya,  Malaysia boleh berbangga kerana diwariskan Silat Melayu yang lengkap pada zahir dan batinnya yang memudahkan mereka membentuk silat sebagai satu nama  dan satu ilmu  bela  diri  yang  sempurna.   Barang  kali  sesuai  ungkapan di  atas dilengkapkan iaitu `pandang satu pada yang banyak dan pandang banyak pada yang satu’. Setiap yang baharu ada mulanya,  demikian juga dengan silat yang ada mula atau sebenih lalu berkembang kepada beberapa rumpun. Maka tidak mustahil ilmu silat yang telah  berkembang  disusun  kembali  menjadi  satu  ilmu.  Usaha  tersebut  memerlukan pengorbanan bersama ke arah memartabatkan Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi  yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara dan sumbangan bangsa Malaysia kapada tamadun manusia. Sekian. 

(dipetik daripada artikel yang ditulis oleh Pendita Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab)