Amalan kerohanian dalam Silat Melayu melalui sejarah yg panjang iaitu pada peringkat pertama kerohanian Silat Melayu tradisi dari amalan kepawangan yang berdasarkan kepercayaan animisme yang percaya kepada kuasa ghaib, nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan. Bagi memperlihatkan hubungan baik, mendapatkan bantuan kuasa ghaib dan mempertahankan diri dari kecelakaan kuasa ghaib, pengamal kebatinan tradisi memakai beberapa petua dan syarat, tangkal azimat dari kayu, batu, tulang serta mantera jampi dalam bahasa Melayu.
Peringkat kedua ialah
kebatinan berlatarkan pengaruh kepercayaan Hindu Buddhisme. Pada
peringkat ini amalan animisme masih kekal diamalkan di
samping mempercayai kuasa dewa dewi, keramat, bertapa, puasa,
bersemadi, yoga, mandi keramat, nujum, kesaktian dan jampi mantera
serta percaya pada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi,
batu, kayu, tulang dan kulit binatang.
Peringkat ketiga
ialah pengaruh Islam. Oleh sebab Islam baru berkembang dalam masa yang
singkat sebelum kerajaan-kerajaan Melayu diperintah oleh penjajah barat
yang memandang Islam sebagai musuh, maka kerohanian Islam tidak
dapat berkembang dengan sempurna dalam kerohanian persilatan Melayu.
Pada peringkat ini kerohanian Islam dalam persilatan Melayu masih
bercampur baur dengan pengaruh kepercayaan animisme dan Hindu
Buddhisme. Pengamal silat percaya kepada kuasa Allah yang esa, tetapi
masih dipengauruhi oleh kebatinan lalui dengan mewujudkan
sandaran seperti malikat, sahabat, saka, jin, wali, keramat, roh
panglima dan semangat binatang seperti harimau, helang, monyet dan
sebagainya.yang dapat membantu ketika terdesak. Mengadakan semah
gelanggang, mandi minyak, mewujudkan mantera jampi dengan kalimah
untuk ilmu pendinding, kebal, penunduk, penderas, pengasih,
pengunci, pelimun, petunang, pembisa dan pelali. Bermakna
kerohanian Islam belum dapat
menyumbang kepada ilmu kepahlawanan Melayu sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan penglima Islam zaman Rasulullah SAW.
Peringkat ke empat ialah pengaruh sekularisme yang menjadikan agama sebagai urusan peribadi dan budaya yang tiada berhubungan urusan keduniaan. Silat mula dipengaruhi pelbagai falsafah dan pemikiran yang bergantung kepada usaha manusia semula jadinya memberi bekas. Manusia mempunyai kekuatan mutlak melalui keupayaan fizikal, mental dan spiritual. Diperkukuhkan dengan latihan minda dan jiwa melalui amalan yoga, pernafasan, tenaga dalam, aura, syihir dan sebagainya yang bersumber daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kerpecayaan. Pengamal spiritual dapat memperlihatkan keupayaan amalan dengan memecah genting batu, mematakan besi baja, ketulan ais, menjilat besi panas, membakar tubuh, mandi asid, makan kaca, ditusuk dengan besi, tahan godam dengan kayu, rotan, buluh, besi dan lain-lain. Beberapa perguruan silat telah kembali melihat amalan-amalan dari kebatinan lalu untuk menyaingi persembahan yang dilakukan oleh pengamal spiritual.
Berbalik kepada
persoalan sumbangan kerohanian Islam ke dalam ilmu persilatan Melayu
ternyata masih belum pernah diusahakan dengan sempurna. Hanya
beberapa orang ulamak Melayu yang mengajar silat sedar iaitu
setelah pengamal silat meninggalkan amalan kebatinan Melayu
tradisi dan pengaruh Hindu Buddhisme, berlakulah kekosongan pada
ruang kerohanian dalam ilmu kepahlawanan Melayu. Tanpa pengisian
adalah besar kemungkinan kekosongan tersebut akan diisi kembali
oleh kebatinan lalu atau pengaruh amalan semasa yang bukan
Islam. Mereka segera memperturunkan rahsia ilmu kerohanian Islam di
samping mengekalkan amalan budaya Melayu yang tidak berxanggah
dengan syarak. Pendidikan ilmu kerohanian Islam dimulakan dengan
memperkenalkan ketokohan pahlawan Islam seperti Sayidina Omar al Katab,
Sayidina Ali Abi Talib, Sayidina Hamzah, Khalid ibn Walid, Tariq
bin Ziad, terutama ketokohan Nabi Muhammad saw. Pesilat dapat
melihat Islam sebagai kerohanian dan ilmu yang dapat membentuk
kekuatan rohani dan jasmani. Pesilat diperkukuhkan amalan syariat
Islam meliputi hal yang bersangkutan dengan ibadah, aqidah dan
pembinaan akhlak. Maka ilmu tasawuf berjaya memupuk kesuciaan
hati melalui riadah kerohanian Islam yang bersumberkan beberapa aliran
tarikat dari aliran sunnah wal jemaah muzahab Imam Syafie seperti
tarikat Ahmdiah, Muhamadiah, Naqsabandiah, Qadariah dan yang
lain-lain Ulamak Melayu memperturunkan beberapa bentuk aurad dan wirid
yang diserta dengan syarat dan kaifiat sesuai dengan keperluan pengisi
kerohanian silat. Tujuannya untuk membuka hijab pesilat agar
dapat melihat kebesaran Allah dengan biji matanya sendiri. Usaha para
ulamak tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam ilmu
persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.
Kesimpulannya,
Malaysia boleh berbangga kerana diwariskan Silat Melayu yang lengkap
pada zahir dan batinnya yang memudahkan mereka membentuk silat sebagai
satu nama dan satu ilmu bela diri yang sempurna. Barang kali
sesuai ungkapan di atas dilengkapkan iaitu `pandang satu pada yang
banyak dan pandang banyak pada yang satu’. Setiap yang baharu ada
mulanya, demikian juga dengan silat yang ada mula atau sebenih lalu
berkembang kepada beberapa rumpun. Maka tidak mustahil ilmu silat
yang telah berkembang disusun kembali menjadi satu ilmu. Usaha
tersebut memerlukan pengorbanan bersama ke arah memartabatkan Silat
sebagai Seni Bela Diri Rasmi yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara
dan sumbangan bangsa Malaysia kapada tamadun manusia. Sekian.
(dipetik daripada artikel yang ditulis oleh Pendita Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab)
No comments:
Post a Comment